Sumbangan Asas Rahmah mula 22 Jan

Sumbangan Asas Rahmah mula 22 Jan

Program itu menyalurkan bantuan RM1,200 kepada isi rumah manakala RM600 untuk golongan bujang selama setahun.

Bantuan Sara tahun ini merangkumi 3 kategori tambahan, iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
PETALING JAYA:
Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang diperluas kepada lebih 700,000 penerima tahun ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 22 Jan.

Menurut Kementerian Kewangan, bantuan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan rentan itu juga merangkumi tiga kategori tambahan, iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, berbanding hanya makanan asas.

Bantuan Sara pada tahun ini dinaikkan kepada RM1,200 daripada RM600 bagi isi rumah tahun lepas, sementara untuk golongan bujang, kekal RM600.

Penambahbaikan itu dijangka melibatkan peruntukan RM700 juta berbanding RM130 juta pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Kewangan

“Penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai runcit berdaftar,” kata kementerian dalam kenyataan.

“Kelayakan untuk menerima bantuan Sara adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih.”

Pelaksanaan Sara akan bermula Isnin ini bagi penerima dari Semenanjung, manakala penyaluran bantuan untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Feb.

Bagi penerima di Semenanjung, bantuan RM100 akan disalurkan setiap bulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan, dan RM50 untuk golongan bujang.

Penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, akan menerima bantuan Sara dua kali setahun, iaitu pada 19 Feb dan 12 Ogos, dengan RM600 disalurkan setiap kali untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan

Untuk golongan bujang pula, RM300 akan disalurkan setiap kali.

Tambah kementerian, program ini turut diperluas untuk melibatkan 515 pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara, berbanding 424 tahun lepas.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.