
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata rangka tersebut ditemukan kira-kira 2 petang selepas pihaknya dibawa ke lokasi kejadian oleh seorang daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita itu.
Beliau berkata pakaian turut dijumpai di lokasi kejadian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan bagi pengesahan identiti mangsa.
“Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita tersebut.
“Rangka ini akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk ujian DNA dan hanya akan dapat diketahui antara dua minggu hingga sebulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi penemuan.
Sebelum ini media melaporkan, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas dikatakan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, Bella, 32, tidak ditemui selepas itu dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
Sementara itu, kakak mangsa Norisham, 36, berkata ketika dimaklumkan tentang penemuan rangka manusia itu petang tadi, gerak hatinya tetap mengatakan ia bukan Bella.
Bagaimanapun, katanya jika ia disahkan adiknya, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah namun berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku.