Biar Parlimen tetapkan sendiri bilangan sidang, bukan PM, cadang penyelidik

Biar Parlimen tetapkan sendiri bilangan sidang, bukan PM, cadang penyelidik

Maha Balakrishnan berkata, tidak lagi praktikal untuk kerajaan terus mengawal perkara ini kerana kini tiada parti dominan di Parlimen.

Parlimen akan bermesyuarat selama 69 hari tahun ini, dengan sidang pertama akan berlangsung dari 26 Feb hingga 27 Mac. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penyelidik dasar awam mencadangkan agar bilangan sidang Dewan Rakyat setiap tahun ditentukan oleh Parlimen sendiri, bukannya oleh perdana menteri.

Maha Balakrishnan berkata, tidak lagi praktikal bagi kerajaan untuk terus mengawal perkara itu.

“Dewan Rakyat tidak lagi dikawal oleh satu parti atau satu gabungan,” katanya merujuk kepada ketiadaan parti dominan dalam komposisi Dewan Rakyat sekarang.

Susulan PRU lepas, Parlimen menjadi tergantung sebelum kerajaan perpaduan dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH), dengan sokongan beberapa parti dan gabungan lain.

Sebelum ini, ketika Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya kuasa politik dominan, kuasa membuat keputusan, termasuk bilangan sidang Dewan Rakyat, bawah “kawalan de facto kerajaan”.

Maha mengulas laporan FMT bahawa bilangan hari Parlimen bersidang setiap tahun adalah mengikut budi bicara perdana menteri.

Parlimen akan bermesyuarat selama 69 hari tahun ini, dengan sidang pertama berlangsung dari 26 Feb hingga 27 Mac.

Maha berkata, langkah membenarkan Ahli Parlimen termasuk pembangkang menetapkan bilangan sidang Dewan Rakyat secara tidak langsung akan membantu lebih mempertanggungjawabkan kerajaan.

Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen berpeluang mempersoalkan kerajaan, peranan yang menjadi lebih relevan berikutan skandal yang melibatkan dana awam, seperti 1MDB, katanya.

“Tetapi sukar bagi Ahli Parlimen untuk menggunakan kuasa Parlimen apabila kuasa menetapkan sidang dan mengawal agenda Dewan Rakyat dalam tangan kerajaan,” kata Maha.

Ahli Parlimen PKR Subang Wong Chen dan ahli sains politik Wong Chin Huat mencadangkan agar sidang Dewan Rakyat ditetapkan 100 hari setahun, yang boleh dilaksanakan dengan meminda Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Wong Chen berkata, sidang 100 hari akan membantu “lebih mempertanggungjawabkan kerajaan”, manakala Chin Huat berkata, tempoh itu akan memastikan ahli Parlimen mempunyai “pekerjaan sepenuh masa, bukannya bermusim”.

“Kita harus ada sekurang-kurangnya 100 hari (sidang), dan sekurang-kurangnya satu perlapan atau satu perempat harus diperuntukkan bagi urusan bukan kerajaan, yang agendanya ditetapkan oleh pembangkang dan penyokong kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah bersetuju dengan sidang 100 hari, yang menurutnya telah dianjurkan oleh PH dalam manifesto PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.