Upah rendah penunggang p-panggilan, persatuan minta kerajaan campur tangan

Upah rendah penunggang p-panggilan, persatuan minta kerajaan campur tangan

Persatuan mencadangan kerajaan mengeluarkan garis panduan keseluruhan sistem ekonomi gig p-panggilan sekali gus menjamin kebajikan pekerja.

Semalam, Grab mempertahankan struktur tambang penghantaran dan bonusnya yang baharu, di tengah-tengah gesaan penunggang untuk memboikot syarikat pengangkutan dan penghantaran itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia menggesa kerajaan campur tangan susulan tindakan syarikat penyelia p-panggilan, Grab memperkenalkan kadar bayaran upah baharu yang didakwa lebih rendah kepada penunggang.

Dalam kenyataan, kumpulan itu turut mencadangan kerajaan merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan perkhidmatan sistem ekonomi gig p-panggilan sekali gus menjamin kebajikan pekerja syarikat pengangkutan dan penghantaran makanan.

“Pandangan kami selagi tiada akta khusus diwujudkan oleh kerajaan berkaitan ekonomi gig p-panggilan, isu berkaitan akan terus berlarutan dan hanya pihak kerajaan yang boleh merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan.

“Persatuan juga menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan badan kawal selia ekonomi gig demi menjaga kebajikan penggiat ekonomi gig. Kerajaan juga perlu mengambil langkah jangka pendek mengenai isu terkini sedang dihadapi penunggang p-panggilan terutama berkaitan isu kadar bayaran upah,” katanya.

Pada masa sama, persatuan itu turut mendakwa penurunan kadar bayaran upah dilakukan Grabfood adalah keputusan dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan merujuk bersama penunggang sekali gus tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Persatuan menggesa Grabfood mengembalikan semula bayaran upah kepada kadar asal serta-merta,” katanya.

Katanya, isu penurunan bayaran upah disuarakan dalam perbincangan bersama perdana menteri, wakil kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan sebelum ini yang turut disertai semua syarikat termasuk Grab.

“Dalam perbincangan itu semua syarikat penyelia termasuk Grabfood bersetuju mengkaji semula kadar penerimaan upah diterima penunggang mereka. Namun apa yang amat dikecewakan isu penurunan kadar bayaran upah ini masih berlaku kepada penunggang,” katanya.

Semalam, Grab mempertahankan struktur tambang penghantaran dan bonusnya yang baharu, di tengah-tengah gesaan penunggang untuk memboikot syarikat pengangkutan dan penghantaran itu.

Grab dalam kenyataan berkata, struktur pendapatan baharu yang berkuat kuasa kelmarin “memberikan manfaat kepada rakan kongsi penghantaran yang paling aktif”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.