
Dalam serbuan pada Ahad, sekitar 6.40 petang, polis turut memberkas empat lelaki termasuk dalangnya, berusia antara 31 dan 32 tahun.
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah membuka kumpulan sosial sulit menerusi Telegram bagi pelanggan tetapnya yang ingin menempah bekalan dadah.
Katanya, ganja dijual adalah seberat antara 100g hingga 1kg dengan menggunakan syarikat kurier.
“Sindiket ini akan memberikan akaun nombor atas nama syarikat mereka iaitu ‘Pasir Berdengung’ bagi tujuan pembayaran sebelum ganja itu dihantar kepada para pelanggannya.
“Syarikat itu ditubuhkan bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap kegiatan pengedaran tersebut,” katanya menurut Kosmo pada sidang media di IPD Shah Alam.
Beliau berkata, pihaknya masih melakukan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengenal pasti asas jenis perniagaan syarikat itu.
Katanya, hasil serbuan di kondominium yang dijadikan sebagai tempat pembungkusan dadah itu menemui 6.5kg bernilai RM20,243. Keseluruhan dadah dirampas itu dianggar bagi kegunaan 1,306 penagih.
“Kita turut menyita dua buah kenderaan dan dua buah motosikal yang masing-masing jenis Mazda, Perodua Bezza, Yamaha FZ150i dan Honda RSX dengan nilai keseluruhan RM128,243.
“Keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis kanabis dengan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Racun,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari sehingga Ahad depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.