
CYBERJAYA: Kementerian Kewangan mula mengagihkan peruntukan bagi projek-projek yang diumum dalam Belanjawan 2024 kepada pelbagai agensi berkaitan pada bulan ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Penyaluran peruntukan yang pantas ini bagi mempercepat projek terbabit tanpa perlu menunggu lebih lama untuk pelaksanaan yang berterusan,” kata Anwar pada sidang akhbar sempena pemukiman anggota Jemaah Menteri.
Beliau bersama 31 menteri menghadiri program dua hari itu yang berlangsung di Cyberview Resort & Spa sejak semalam.
Mengulas prospek ekonomi negara bagi 2024, perdana menteri berkata perkara paling utama ialah kestabilan politik disusuli dengan dasar-dasar yang jelas.