
Chow berkata, sebaik siap dalam tempoh dua tahun akan datang, loji itu mampu merawat 114 juta liter air sehari.
Menurutnya, kerajaan negeri maklum mengenai masalah air dihadapi penduduk Seberang Perai, dan mengumumkan lapan pelan kontingensi termasuk loji rawatan air itu.
“Rata-rata seluruh Seberang Perai Selatan akan mendapat bekalan air mencukupi. Bagaimanapun, projek (kontingensi air) ini memerlukan masa untuk disiapkan.
“Anda akan melihat keadaan lebih baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ponggal anjuran Kuil Sri Muniswarar.
Beliau mengulas dakwaan penyelaras protem Forum Seberang Perai, B Saravananan, bahawa kenaikan tarif air yang baru diumumkan bagi negeri itu wajar memandangkan tahap perkhidmatan air yang buruk di Seberang Perai Selatan.
Saravanan merujuk kepada bekalan air tidak menentu di lokasi seperti Sungai Bakap dan Jawi, selain kawasan Mukim 5. Menurutnya, potongan air berjadual menjadi isu di kawasan berkenaan sejak 2018.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, sebelum ini berkata masalah itu secara umumnya berkait dengan tekanan air rendah, tetapi telah diselesaikan hasil penaiktarafan besar-besaran di daerah itu.