
Ketika ini majikan meletakkan syarat kelayakan minimum seseorang itu harus lulus SPM untuk diambil bekerja dengan ada pemegang sijil SKM tidak memiliki kelulusan terbabit.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara Anuar Ahmad berpandangan sesiapa pun boleh bekerja dalam bidang teknikal tanpa kelulusan SPM namun mereka harus memiliki sijil SKM tahap tiga ke atas.
Menurutnya, langkah itu dapat membantu lebih ramai lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mendapat pekerjaan dan memberi semangat untuk meningkatkan kemahiran.
“Bagaimanapun mereka juga perlu mengambil bahasa Melayu dan Sejarah sebagai subjek wajib lulus untuk mendapatkan sijil TVET yang setara SPM,” katanya kepada FMT.
Cadangan mengiktiraf SKM supaya setaraf dengan SPM pernah dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada Jun tahun lalu yang mahu membawa kertas cadangannya kepada Kabinet.
Namun tiada perkembangan selepas itu dan terbaru, Asyraf Wajdi Dusuki yang mengetuai Mara iaitu sebuah daripada agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diketuai Zahid sekali lagi mencadangkannya, kelmarin.
Asyraf berkata tidak perlu lagi syarat minimum iaitu memiliki SPM untuk memohon kerja dalam bidang teknikal
Sementara itu, pakar pendidikan Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berpendapat wajar untuk seseorang pelajar mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan SPM melainkan mereka kekurangan upaya.
Beliau memberi contoh SKM Tahap 2 atau 3 sesuai untuk golongan pelajar yang khususnya mengalami ketidakupayaan belajar serta tidak dapat mengikuti kurikulum arus perdana.
“Kita mempunyai kolej vokasional yang mana pelajarnya bukan lepasan SPM tetapi SKM.
“Seperti memasak, untuk membolehkan pelajar berjaya mendapat kelulusan SKM perlu ada kemudahan peringkat SKM, yang akan mengambil masa untuk disediakan,” katanya.