
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat, berkata Terengganu antara negeri mempunyai tarif air paling rendah dan tidak pernah disemak sejak 26 tahun lalu.
“Selepas Syarikat Air Terengganu (Satu) ditubuhkan, syarikat berkenaan tidak pernah membuat semakan atau menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik. Ia bererti kadar tarif domestik tidak berubah sejak 1997 hingga 2023.

“Bagaimanapun, Sstu berhasrat mengemukakan permohonan pelarasan kadar tarif yang holistik untuk menampung peningkatan kos operasi dan kos pembangunan modal yang tinggi bagi memastikan keselesaan pengguna dapat ditambah baik,” katanya dalam kenyataan.
Kadar air dikenakan Satu adalah 42 sen bagi setiap 0 hingga 20 meter padu bagi penggunaan domestik, sementara kadar sedia ada bagi pengunaan lebih 20 hingga 40 meter padu adalah 65 sen; lebih 40 hingga 60 meter padu sebanyak 90 sen dan lebih 60 meter padu berjumlah RM1.
Hanafiah berkata, selain itu pelarasan kadar tarif domestik juga belum mampu menampung kos operasi ditanggung Satu.
“Satu membelanjakan sejumlah RM180 juta setahun bagi kos operasi untuk mengabstrak, memproses serta membekalkan air terawat kepada pengguna di Terengganu.
“Pada masa sama, kerja penyelenggaraan membabitkan pembaikan paip pecah dan bocor serta kerja menaik taraf sistem bekalan air juga perlu ditampung,” katanya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini memaklumkan kadar tarif air domestik akan dinaikkan purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenajung dan Labuan, berkuat kuasa 1 Feb.
Kenaikan itu bagaimanapun masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod 2022.
Hanafiah berkata, Satu juga sudah diberi taklimat berhubung kewajaran pelarasan kadar tarif daripada SPAN ketika pelaksanaan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) pada 2018.
Susulan pengumuman itu, Gerakan berkata SPAN sepatutnya memberi keutamaan dan memfokuskan penggantian paip lama di seluruh negara terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menaikkan tarif air.
“Sepatutnya dalam keadaan sekarang, kerajaan mencadangkan lebih banyak insentif untuk mengurangkan kos sara hidup dan bukan mengenakan pelbagai kos tambahan kepada rakyat,” kata Speaker Gerakan V Prabagaran, menggesa SPAN menarik balik keputusan menaikkan tarif air.