Remaja didakwa bunuh warga emas

Remaja didakwa bunuh warga emas

Remaja usia 17 tahun didakwa membunuh Muhammad Zahid Nagappan, 74, di sebuah rumah di Rantau, Negeri Sembilan.

Remaja lelaki berumur 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas dua minggu lalu. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali pada prosiding dijalankan secara tertutup.

Remaja itu didakwa membunuh Muhammad Zahid Nagappan, 74, di sebuah rumah di Kampung Pasir, Jalan Siliau, Rantau, antara 11.30 malam hingga 10 pagi 4 Jan lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika tidak dihukum mati.

Bagaimanapun, pesalah bawah umur 18 tahun tidak boleh dihukum mati bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong, jika kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan, dan Raja atau Yang Dipertuan Negeri jika perbuatan itu dilakukan di negeri lain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 Mac sebagai sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.