Hamil 5 minggu, pelajar buat laporan palsu dirogol

Hamil 5 minggu, pelajar buat laporan palsu dirogol

Siasatan mendapati tiada kejadian rogol berlaku dan polis menemui perbualan mencurigakan pelajar itu bersama teman lelaki.

Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata pelajar kolej itu akhirnya mengaku membuat laporan palsu dirogol selepas hamil hasil hubungan seks bersama teman lelaki.
PETALING JAYA:
Pelajar kolej nekad membuat laporan palsu dirogol bagi menutup kehamilannya berusia lima minggu, dipercayai hasil hubungan bersama teman lelaki daripada diketahui keluarga.

Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata polis menjalankan siasatan termasuk merakam keterangan mangsa yang mendakwa dirogol pada 6.15 petang, semalam, susulan laporan diterima pada 7.26 malam, hari sama.

Katanya, pelajar berusia 20 tahun itu mendakwa menjadi mangsa rogol di sebuah rumah di Kampung Serting Ilir, Bahau.

“Pelajar itu mendakwa dirogol selepas kediamannya dimasuki lelaki tidak dikenali yang memakai pakaian berwarna hitam dan topeng.

“Pihak forensik yang menjalankan pemeriksaan tidak menjumpai spesimen atau cecair air mani di tempat kejadian.

“Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu tidak mengalami kecederaan sebaliknya sudah mengandung lima minggu,” katanya menurut Harian Metro.

Hoo berkata, pemeriksaan telefon bimbit pelajar itu mendapati ada perbualan mencurigakan bersama teman lelakinya.

Katanya, ketika disoal siasat pelajar itu mengaku laporan dibuat adalah palsu dan rekaan semata-mata.

“Pelajar itu membuat laporan palsu disebabkan sudah mengandung hasil daripada hubungan seks dengan teman lelakinya dan takut diketahui keluarga,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.