
Shukri berkata, ini kerana pemimpin berusia hampir 98 tahun itu mempunyai rangkaian luas berdasarkan kedudukan dan pengalamannya sebagai perdana menteri selama lebih 22 tahun yang boleh dimanfaatkan Perlis, Kedah, Terengganu, serta Kelantan.
“Dia boleh lagi, penasihat oklah, rangkaian pun panjang dan banyak kawan,” kata Adun Sanglang kepada FMT.
Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Mahathir bahawa masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal”.
Dalam temu bual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, beliau berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.
Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.
Terdahulu, FMT melaporkan saranan penganalisis supaya Perikatan Nasional (PN) dianggotai PAS memutuskan kerjasama dengan Mahathir atau berdepan penolakan pengundi bukan Melayu susulan kenyataan kontroversinya sering ditujukan terhadap komuniti itu.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Mahathir boleh dianggap liabiliti dan sering dilihat sebahagian daripada PN kerana peranannya sebagai penasihat SG4.
Selain menjadi penasihat SG4 sejak September tahun lalu, Mahathir sehingga kini juga sering berkongsi pentas ceramah bersama PN terutama PAS sejak PRN.