
Ini kerana, katanya, tidak banyak bekalan makanan Malaysia yang diimport melalui laluan laut itu.
Tetapi, beliau berkata, kementeriannya sedang memantau keadaan dari semasa ke semasa kerana jika kawasan terjejas membabitkan laluan industri minyak dan gas, ia mungkin memberi kesan kepada Malaysia.
“Saya agak kesan besar kurang menjejaskan kerana ia berlaku dalam laluan ekonomi di sebelah situ. Kalau laluan itu terganggu seperti bekalan minyak dan sebagainya, ia akan beri kesan kepada ekonomi dunia,” katanya menurut Berita Harian selepas majlis amanat kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Bagi import produk pertanian pula, Mohamad berkata, kapal penghantar untuk Malaysia tidak banyak berurusan di laluan itu.
“Tidak seperti ketika krisis Ukraine dan Rusia, kita banyak berurusan untuk produk seperti bijirin dan jagung.”
Semalam, Persekutuan Pekilang Malaysia menggesa syarikat perkapalan negara bersedia menghadapi gangguan berpanjangan di Laut Merah susulan krisis keselamatan semakin runcing di rantau itu sehingga memaksa syarikat kapal melencong ke laluan lebih jauh.
Bekalan beras
Mohamad berkata, kementeriannya memfokuskan usaha mencapai kadar sara diri sehingga 100%.
“Seperti yang digariskan sebelum ini, pembaharuan melibatkan inisiatif meningkatkan pelbagai bentuk pertanian moden, pembajaan, pengairan supaya kita capai hasil lebih tinggi dan membuka kawasan baharu seperti Sabah dan Sarawak untuk tanaman padi.”
Katanya, Malaysia boleh mengeksport beras, jika mampu mencapai penghasilan tujuh tan per hektar secara purata.
“Sekarang purata penghasilan beras sekitar 4-5 tan per hektar. Walaupun ada tempat yang dicapai seperti di Sekinchan, secara umumnya masih di bawah kadar mencukupi.”