Pengarah ‘Mentega Terbang’ kecam tindakan undang-undang

Pengarah ‘Mentega Terbang’ kecam tindakan undang-undang

Khairi Anwar Jailani bersama penerbit filem Tan Meng Kheng akan didakwa di mahkamah esok atas kesalahan 'melukakan perasaan agama orang lain'.

Khairi Anwar Jailani bimbang tindakan seperti diambil terhadapnya akan menyekat lebih ramai pengkarya yang takut akan didakwa.
PETALING JAYA:
Pengarah “Mentega Terbang”, filem “indie” tempatan yang diharamkan, mengecam tindakan undang-undang diambil oleh kerajaan terhadap pembikin filem itu kerana “melukakan perasaan agama orang lain”.

Khairi Anwar Jailani dilaporkan menerima saman bertarikh semalam, untuk menjawab tuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.

“Tak silap saya, ini kali pertama pembikin filem (di Malaysia) didakwa atas tuduhan jenayah di mahkamah kerana sebuah filem,” katanya kepada FMT.

“Saya kecewa jika inilah caranya untuk mendiamkan pengkarya, dan saya bimbang (tindakan) ini akan menyebabkan lebih ramai pengkarya tidak lagi menghasilkan karya kerana takut didakwa.”

Penerbit filem itu, Tan Meng Kheng turut menerima saman serupa semalam.

Bulan lalu, Tan dan Khairi memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem itu.

Ditayangkan sebelum ini di platform penstriman dalam talian, filem itu dikritik atas beberapa adegan dikatakan bercanggah ajaran dan akidah Islam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 Sept, langkah disifatkan Tan dan Khairi sebagai “tidak rasional” dan mencabul kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan dilema dihadapi Aisyah, seorang remaja Islam, yang meneroka agama lain terutama untuk mencari jawapan kepada persoalan mengenai kehidupan selepas kematian.

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) juga berkata, pihaknya menemui unsur-unsur dalam filem itu yang bertentangan akidah dan cara hidup umat Islam di Malaysia, yang mengikuti mazhab Syafie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.