Kertas siasatan ‘Langkah Dubai’ dirujuk ke Jabatan Peguam Negara

Kertas siasatan ‘Langkah Dubai’ dirujuk ke Jabatan Peguam Negara

Bukit Aman berkata pihaknya akan menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata jumlah laporan diterima berhubung ‘Langkah Dubai’ setakat ini kekal 145. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis hari ini merujuk kertas siasatan berhubung gerakan “Langkah Dubai” bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin, berkata pihaknya akan menunggu arahan lanjut daripada AGC untuk tindakan seterusnya.

“Buat masa ini tiada individu lain dipanggil untuk dirakam keterangan selain daripada empat individu kita panggil sebelum ini,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, jumlah laporan diterima di seluruh negara setakat ini juga masih kekal sebanyak 145.

Sebelum ini, media melaporkan empat individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu Jumaat lalu.

Mereka adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusof yang mula mendedahkan gerakan itu.

Turut dipanggil Wan Muhammad Azri Wan Deris, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Mohamad Salim Iskandar.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan isu “Langkah Dubai” selepas mereka didapati menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.

Susulan itu katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen dan suspek utama adalah aktivis politik, Raja Petra Kamarudin.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

Semalam, Razarudin turut dilaporkan berkata pihaknya akan merujuk ke AGC untuk menentukan langkah seterusnya berhubung siasatan terhadap Raja Petra kerana aktivis politik itu berada di London.

Katanya, aktivis itu bukan sahaja diperlukan dalam kes berkenaan tetapi terdapat beberapa kertas siasatan lain juga pernah dibuka ke atasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.