
Peguam Haikaldin Mahyidin berkata Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd memfailkan empat persoalan undang-undang untuk mendapatkan penangguhan daripada Mahkamah Persekutuan.
Mereka kini perlu meyakinkan mahkamah tertinggi itu bahawa persoalan undang-undang atau perlembagaan yang baharu dan berkepentingan awam sedang dibangkitkan untuk kali pertama, selaras dengan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.
Haikaldin berkata permohonan difailkan pada 10 Jan dan pendaftar Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Feb untuk pengurusan kes.
Pada 12 Dis lalu, Mahkamah Rayuan menganugerahkan ganti rugi RM300,000 dan kos RM120,000 kepada Sultanah Nur Zahirah selepas mendapati Rewcastle Brown, Chong dan Vinlin Press bertanggungjawab atas fitnah.
Hakim Azahari Kamal Ramli yang menyampaikan keputusan sebulat suara membenarkan rayuan Sultanah berkata, hakim perbicaraan terkhilaf menolak saman itu pada 2022.
Pada 7 Nov 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kenyataan dalam buku Rewcastle Brown, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah.
Sultanah itu memulakan saman fitnah RM300 juta pada 2018, mendakwa Rewcastle Brown memperkecilkan beliau dalam buku yang menceritakan kisah di sebalik siasatan Sarawak Report berhubung skandal 1MDB.
Baginda mendakwa kenyataan itu mencadangkan penglibatannya dalam amalan rasuah, campur tangan dalam pentadbiran Terengganu dan bahawa baginda menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudian menjadi 1MDB.
Baginda seterusnya mendakwa, kenyataan itu boleh dianggap sebagai bermaksud bahawa baginda membantu Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menjadi penasihat TIA
Rewcastle Brown dalam pembelaannya berkata, dia melakukan “kesilapan yang tidak disengajakan” ketika menyatakan “pemain utama” dalam kenyataan yang dipertikaikan itu sebagai “isteri sultan”.