Bekas KM Sabah gesa semak dasar lanjut permit pekerja asing 15 tahun

Bekas KM Sabah gesa semak dasar lanjut permit pekerja asing 15 tahun

Harris Salleh berkata langkah itu perlu kerana Sabah dijangka berdepan pengaliran keluar pekerja susulan penubuhan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

Harris Salleh berkata Nusantara akan mendapatkan pekerja Indonesia berpengalaman yang kini bekerja di Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang bekas ketua menteri Sabah menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menyemak semula dasar membenarkan pekerja asing bekerja sehingga 15 tahun, bukan memperbaharui permit setiap tahun.

Harris Salleh berkata, langkah itu perlu kerana Sabah dijangka berdepan pengaliran keluar pekerja susulan penubuhan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.

Katanya, beliau sudah menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan perkara itu.

“Peluang dan landskap yang berkembang di Nusantara menandakan peningkatan permintaan untuk tenaga kerja Indonesia berpengalaman amat diperlukan untuk kemajuan dan kemakmuran berterusan Kalimantan,” katanya menurut Daily Express.

Beliau berkata, populasi Nusantara dijangka mencecah 50 juta orang menjelang 2030.

Memetik rancangan Nusantara menambah lima juta hektar ladang sawit lagi, menjadikan keseluruhan 10 juta hektar, Harris berkata Nusantara akan mendapatkan pekerja Indonesia berpengalaman yang kini bekerja di Sabah.

“Ini sebabnya penting untuk mengekalkan pekerja ini di Sabah dengan melanjutkan permit kerja mereka sehingga 15 tahun.”

Harris berkata, sebab lain untuk melanjutkan tempoh permit termasuk hakikat pekerja asing tiba di Sabah selalunya dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan tempoh 15 tahun akan memberikan kestabilan kepada majikan serta pekerja.

Beliau turut mencadangkan tabung simpanan diwujudkan untuk pekerja asing bagi melindungi masa depan kewangan mereka. Ini bersama simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), akan memudahkan mereka pulang ke negara asal selepas tamat tempoh permit kerja.

“Lanjutan permit kerja 15 tahun bukannya memberi kerakyatan secara automatik, tetapi menawarkan jaminan kepada majikan dan pekerja (untuk tenaga kerja berterusan).”

Katanya, penting untuk menangani keengganan orang tempatan bekerja di ladang sawit, dengan Sabah sudah berdepan kekurangan pekerja penuaian.

Minggu lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani, mencadangkan pekerja di sektor ladang sawit, khususnya kerja penuaian dijadikan profesion menerusi kursus kemahiran dan gaji lebih baik.

Beliau berkata, sektor sawit yang bergantung kepada pekerja asing kini berdepan masalah kekurangan pekerja dan 50% pekerja di ladang itu terdiri daripada pekerja penuaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.