Penerbit, pengarah Mentega Terbang akan didakwa pada Rabu

Penerbit, pengarah Mentega Terbang akan didakwa pada Rabu

Tan Meng Kheng dan Khairi Anwar Jailani akan berdepan pertuduhan 'melukakan perasaan agama orang lain'.

(Dari kiri) Peguam Zaid Malek, Khairi Anwar Jailani, pelakon Arjun Thanaraju, dan peguam Mahajoth Singh, di luar pekarangan Bukit Aman, pada Mac tahun lalu.
PETALING JAYA:
Penerbit Mentega Terbang, filem indie yang dilarang tayang kerajaan akan berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Rabu kerana “melukakan perasaan agama orang lain”.

Tan Meng Kheng menerima saman bertarikh hari ini untuk menjawab pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Anna Har daripada Freedom Film Network memaklumkan kepada FMT bahawa pengarah filem itu, Khairi Anwar Jailani, juga terima saman hari ini.

Bulan lalu, Tan dan Khairi memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem tersebut.

Kementerian Dalam Negeri mengharamkan filem itu pada 1 Sept, yang mana kedua-duanya berkata ia “tidak rasional” kerana melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditayangkan menerusi platform penstriman, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan ‘konflik keagamaan’ yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawaban kepada persoalan hidup selepas mati.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati filem itu terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran mazhab Syafie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.