Cuba lari SJR, lelaki ditahan langgar sarjan polis

Cuba lari SJR, lelaki ditahan langgar sarjan polis

Sarjan terbabit cedera di tangan, manakala penunggang motosikal 26 tahun itu juga cedera.

Yamaha LC ditunggang suspek ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis cedera dilanggar sebuah motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Bandar Chukai, Kemaman, semalam.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, anggota berpangkat sarjan itu bersama lima anggota lain sedang mengadakan SJR di Jalan Limbong Chukai dalam kejadian 6.20 petang.

Katanya, seorang lelaki yang menunggang Yamaha LC diarah memberhentikan motosikalnya untuk diperiksa, tetapi suspek bertindak memecut untuk meloloskan diri.

“Anggota polis terbabit cuba menahan, namun dilanggar motosikal berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, anggota lain yang menyaksikan kejadian itu berjaya menahan suspek.

Katanya, sarjan terbabit cedera di tangan, manakala penunggang motosikal 26 tahun itu juga cedera dan mereka dibawa ke Hospital Kemaman.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati cukai jalan motosikal itu sudah luput dan pengubahsuaian dilakukan tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

Hanyan berkata, suspek dan motosikalnya dibawa ke IPD Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (2) Akta Pengangkutan Jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.