
Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata media jarang melaporkan mengenai Ahli Parlimen pembangkang apabila mereka menyentuh isu yang lebih berat di Dewan Rakyat seperti isu rakyat, ekonomi, tadbir urus dan hal ehwal antarabangsa.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu menggesa media memberikan liputan lebih menyeluruh terhadap Ahli Parlimen pembangkang apabila mereka berbahas dasar kerajaan.
“Media harus menyediakan laporan yang tepat mengenai apa yang diungkapkan oleh Ahli Parlimen pembangkang,” katanya kepada FMT.
Bekas ketua penerangan Bersatu itu mengulas dakwaan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua bahawa isu dibangkitkan pembangkang di Dewan Rakyat “tidak berisi”.
Wakil DAP itu berkata topik dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang kebiasaannya hanya satu dimensi dan sentiasa mengenai kaum, agama, alkohol, atau pemakaian
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata dakwaan Pua adalah selektif dan melulu dan bertujuan untuk memberi gambaran buruk kepada PN.
Seorang bekas Ahli Parlimen, Eddin Syazlee Shith, berkata Pua tidak seharusnya memandang remeh terhadap isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, kerana semuanya melibatkan kepentingan rakyat dan kestabilan politik.
Tambah Eddin, isu yang dibangkitkan adalah membina dan berdasarkan kebimbangan akar umbi.
“Dari segi kualiti dan peranan yang dimainkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, ia jauh lebih besar daripada pembangkang semasa saya di Parlimen,” katanya.
“Beliau tidak boleh mengatakan bahawa isu yang dibangkitkan tidak mempunyai isi.”
Eddin adalah Ahli Parlimen Kuala Pilah dari 2018-2022 dan berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam tiga kerajaan sejak 2018.
Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon, dari Bersatu, mencadangkan agar Ahli Parlimen pembangkang memberi perhatian kepada isu-isu yang tidak dibincangkan oleh kerajaan kerana peranan mereka adalah untuk menyediakan semak dan imbang serta berbahas dengan berkualiti di Parlimen.
“Tugas asas pembangkang ialah meneliti perkara yang tidak dilihat oleh kerajaan. Oleh itu, mereka perlu membaca dengan meluas dan memperoleh data statistik,” katanya.