Aset rakyat Malaysia ditangkap kes dadah dianggar RM190 juta

Aset rakyat Malaysia ditangkap kes dadah dianggar RM190 juta

Polis berkata nilai aset itu berdasarkan sitaan peringkat awal semasa penahanannya sebelum ini.

Seorang rakyat Malaysia yang berdepan kes dadah di Thailand pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Nilai aset seorang lelaki yang berdepan kes dadah di Thailand susulan tangkapan di Laos dianggarkan kira-kira RM190 juta, menurut polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata lelaki berusia 41 tahun itu dan berasal dari Perak pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan nilai aset itu berdasarkan sitaan peringkat awal semasa penahanannya sebelum ini.

“…nilai tak silap saya masa kita buat sitaan itu dalam RM190 juta, yang kita sita pada peringkat awal. Sebahagian kita lucut hak dan sebahagian lagi kita pulangkan semula,” katanya lapor Bernama.

Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand menganggarkan harta individu terbabit di Malaysia bernilai kira-kira RM530 juta, memetik kenyataan Setiausaha Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB), Phanurat Lukboon.

ONCB dan agensi lain dilaporkan telah menyita sejumlah harta miliknya di Thailand, termasuk sebidang tanah dengan bangunan di Bangkok, dua kondominium di Trat, tiga kapal layar di Chiang Rai, dan dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai, simpanan di 10 bank, dan harta lain di Chon Buri, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11.27 juta.

Menurut Phanurat, individu terbabit merupakan suspek dalam 11 kes dadah di Thailand, Taiwan, dan Malaysia sejak 2018.

Lelaki itu ditangkap pada 28 Dis lalu di Vientiane dan diusir ke Thailand minggu lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.