3 buruh mengaku tak salah tuduhan guna pistol, pedang curi ayam

3 buruh mengaku tak salah tuduhan guna pistol, pedang curi ayam

Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjata sebelum melarikan enam ayam milik seorang lelaki.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dakwaan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol dan pedang sebelum melarikan enam ayam milik mangsa.
PETALING JAYA:
Tiga buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dakwaan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol dan pedang sebelum melarikan enam ayam, pada November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Shafie Mukhtar, 31; Mohd Ariffadilan Ismail, 38; dan Mohd Zurmi Mat Hassan, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata pistol dan pedang ke atas, Muhamad Faris Norhalim, 24, sebelum melarikan enam ayam miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu, Kota Bharu, 11.30 malam pada 18 Nov lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalna Zainal Abidin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Khairul Azwan Azhan dan tertuduh kedua dan ketiga pula tidak diwakili peguam.

Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun Khairul memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM25,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi.

Hakim menetapkan 15 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.