
Dalam serbuan Op Pintas itu, pusat hiburan itu juga didapati tidak memiliki lesen perniagaan.
Serbuan tengah malam itu dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman Fadil Marsus berkata, pihaknya turut menyelamatkan seorang remaja perempuan Myanmar berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi buruh paksa.
“Fokus operasi adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan ‘National Guideline on Human Trafficking Indicators’ (NGHTI).
“Kami turut menahan 52 individu atas pelbagai kesalahan,” katanya, lapor Harian Metro
Fadil berkata, seorang lelaki Myanmar dipercayai berperanan sebagai majikan turut ditahan, manakala pemilik premis tempatan berusia 29 tahun disiasat bawah Akta Imigresen.
Selain itu, 40 warga Myanmar, termasuk 15 wanita berusia 19 hingga 41 tahun, ditahan bawah Akta Imigresen, dan 10 lagi warga Myanmar, termasuk lima wanita berusia 20 hingga 40 tahun, ditahan mengikut Peraturan-peraturan Imigresen.
Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.