4 motosikal berlanggar di lebuh raya, pelajar Tingkatan 5 maut

4 motosikal berlanggar di lebuh raya, pelajar Tingkatan 5 maut

Empat motosikal itu dipercayai hilang kawalan di laluan berselekoh dan berlanggar sesama sendiri, menyebabkan mangsa terkorban di lokasi.

Seorang remaja lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan 3 motosikal lain di Lebuhraya Guthrie awal pagi tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar Tingkatan 5 maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai berlanggar dengan beberapa motosikal lain di KM7.8 Lebuhraya Guthrie awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 4 pagi itu dilaporkan berlaku di laluan berselekoh menaiki bukit apabila empat motosikal dipercayai hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang Yamaha 15ZR tercampak ke tengah penghadang besi jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penunggang motosikal yang lain bertindak melarikan diri dan kini mereka sedang dikesan,” kata Ketua Polis Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar, lapor Buletin TV3.

Shafa’aton berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Adi Abd Latif, berasal dari Puchong, Selangor.

Katanya, tiga lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dipercayai dua jenis Yamaha LC dan satu Yamaha Y15ZR, namun identiti penunggangnya belum dapat dikenal pasti.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.