Polis nafi video tular lelaki digigit harimau di Bahau

Polis nafi video tular lelaki digigit harimau di Bahau

Sebaliknya kejadian itu dipercayai berlaku di Indonesia dengan mangsa digigit buaya.

Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook, berkata individu berniat menyebabkan ketakutan kepada awam boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Polis menafikan video tular sejak semalam mendakwa seorang lelaki hilang tangan akibat digigit harimau dalam kejadian di Bahau.

Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook, berkata sebaliknya kejadian itu dipercayai berlaku di Indonesia serta telah dilaporkan oleh media negara berkenaan, dua hari lalu.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa sehingga boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat.

“Saya difahamkan video itu berlaku di Indonesia dan kecederaan hilang tangan kerana digigit buaya. Setakat ini, di Balai Polis Bahau, kami tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berkenaan kes gaduh yang mendatangkan kecederaan ataupun digigit harimau,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, mana-mana individu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana berniat menyebabkan ketakutan kepada awam.

Terdahulu, tular audio dan video di aplikasi WhatsApp mendakwa kejadian terbabit berlaku di Bahau dan penduduk setempat diminta berhati-hati susulan serangan harimau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.