LPP cadang beri bantuan pesawah miliki kilang padi skala kecil

LPP cadang beri bantuan pesawah miliki kilang padi skala kecil

Inisiatif itu antara langkah atasi kekurangan beras putih tempatan.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Azulita Salim, berkata mesin memproses bagi pengeluaran beras itu bernilai sekitar RM5,000 seunit.
PARIT BUNTAR:
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bercadang mewujudkan geran pemadanan bagi membolehkan golongan pesawah memiliki kilang padi berskala kecil sebagai antara langkah mengatasi kekurangan beras putih tempatan.

Ketua Pengarah LPP Azulita Salim, berkata menerusi geran pemadanan itu, pesawah dapat menanam padi dan memproses sendiri beras menggunakan mesin pemprosesan yang bernilai kira-kira RM5,000 seunit.

“Ini sebagai satu daripada kaedah (geran pemadanan) yang kita akan perkenalkan agar pesawah dapat memiliki mesin kecil. Sekurang-kurangnya isu beras putih tempatan yang berkurangan buat masa ini dapat kita tangani melalui makan beras yang ditanam sendiri.

“Mesin memproses beras itu dapat menghasilkan 2.5kg beras (setiap pusingan) yang baik dan berkualiti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Piandang.

Sementara itu, Azulita berkata tiga kilang memproses benih padi sah akan beroperasi sepenuhnya iaitu di Simpang Lima, Parit Buntar; Kubur Panjang, Kedah, dan Sungai Burung, Selangor.

Beliau berkata, apabila ketiga-tiga kilang itu beroperasi kelak diharapkan mampu mengatasi kekurangan bekalan beras putih tempatan di negara ini.

“Buat masa ini kita hanya ada sebuah kilang memproses benih padi sah iaitu di Lahar Bubu, Pulau Pinang, yang hanya dapat memproses kira-kira 5,000 tan metrik benih padi sah setahun.

“Jumlah itu tidak mencukupi sebab pesawah kita ada 240,000 orang dan mereka memerlukan benih padi sah sebanyak 72,000 tan metrik setiap tahun, jadi sebuah kilang di Lahar Bubu sahaja tidak cukup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azulita berkata pihaknya akan mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai masalah tanah jerlus di sawah padi di Kerian hingga menyebabkan pesawah berdepan kerugian apabila padi tidak dapat dituai.

“Saya akan bawa isu ini ke peringkat kementerian supaya dapat dilihat dengan lebih teliti kerana tanah jerlus akan menyebabkan kita tidak dapat menghasilkan padi yang lebih baik…kita akan bincang terlebih dahulu supaya kementerian dapat menyediakan peruntukan yang sesuai dalam membantu pesawah,” katanya.

Pada November lalu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Mohd Zolkafly Harun semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri memaklumkan kejadian tanah jerlus membabitkan 595 hektar sawah padi di Kerian yang mengakibatkan pesawah berdepan kerugian kerana padi tidak dapat dituai menggunakan jentera berat.

Beliau berkata, kejadian tanah jerlus juga masih belum diwartakan sebagai kategori bencana melalui Jawatankuasa Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.