Pesawah mahu KP Lembaga Pertubuhan Peladang letak jawatan

Pesawah mahu KP Lembaga Pertubuhan Peladang letak jawatan

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia kecewa Hamzah Bahari mencadangkan pengurangan subsidi padi.

Free Malaysia Today
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia berkata ketua pengarah LPP tidak pernah membincangkan isu pengurangan subsidi dengannya.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menggesa ketua pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meletak jawatan kerana mencadangkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan agar mengurangkan subsidi kepada industri padi.

Pengerusi Mohd Fuad Yaakob berkata Hamzah Bahari membuat cadangan itu tanpa kajian terperinci dan oleh itu mengkhianati golongan pesawah yang sepatutnya diindungi LPP.

Menurut Pesawah, Hamzah salah sasaran kerana isunya bukan subsidi tetapi eksploitasi rantaian bekalan input pertanian.

“Kerajaan tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk campur tangan dalam industri di peringkat input pertanian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kenaikan kos berpunca daripada ketidakseimbangan dan eksploitasi rantaian bekalan input pertanian. Apabila kos dikurangkan dan potongan pemutuan juga rendah, pendapatan petani akan meningkat.”

Menurut Fuad, Hamzah mencadangkan subsidi padi dikurangkan supaya setimpal dengan pengeluaran hasil yang rendah, dan penjimatan itu disalurkan kepada penanaman cili, timun dan halia di kawasan luar jelapang.

Fuad berkata pengurangan subsidi padi akan meningkatkan kos bersawah, sementara menukar tanaman padi kepada tanaman kontan pula akan mengurangkan bekalan padi tempatan, yang akan meningkatkan harga beras tempatan.

Tetapi Hamzah tidak pernah berbincang tentang pengurangan subsidi ini dengan Pesawah.

“Ketua pengarah mungkin berfikir harga beras import lebih murah dan kita boleh mengimport lebih banyak beras asing.

“Jika inilah yang difikirkan maka jelas kefahaman ketua pengarah salah. Asas keselamatan makanan negara adalah penghasilan makanan ruji tanpa bergantung kepada import.”

Fuad juga mempersoalkan hujah mengatakan penanaman tanaman kontan ini “untuk meningkatkan pendapatan pesawah”.

“Tidak terfikirkah LPP bahawa kos berkebun lebih tinggi dari kos bersawah?” katanya.

“Beliau wajib meletak jawatan dan digantikan dengan seseorang yang lebih memahami keperluan rakyat marhaen seperti pesawah,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.