Fahmi, SKMM akan teliti permohonan Najib larang tayang ‘Man on the Run’

Fahmi, SKMM akan teliti permohonan Najib larang tayang ‘Man on the Run’

Pertemuan dengan SKMM akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa aspek perundangan, kata menteri komunikasi.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pihaknya dan SKMM baru sahaja menerima surat mengenai permohonan menurunkan serta melarang tayangan dokumentari ‘Man on the Run’.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi meneliti permohonan bekas perdana menteri Najib Razak agar kerajaan mengarahkan Netflix menurunkan serta melarang tayangan dokumentari “Man on the Run”.

Beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa aspek perundangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya dan juga pihak SKMM baru menerima surat tersebut. Ada beberapa pandangan awal yang telah disampaikan tapi saya rasa perlu diberikan beberapa pertimbangan, kita kena pastikan ia berlandaskan undang-undang.

“Kita kena teliti kerana perkara ini ditimbulkan dalam mahkamah. Jadi ada beberapa perkara yang perlu penelitian terutamanya aspek perundangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran seni seramik Raaqoo Life Magnified-The Main Show oleh Adil Ghani hari ini.

Baru-baru ini, peguam Najib memohon supaya kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman itu supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, bersifat subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan berbincang dengan Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) untuk mengenal pasti seniman tempatan yang boleh diketengah untuk mengeluarkan hasil seni istimewa dan boleh dijadikan cenderahati rasmi untuk kegunaan kerajaan.

“Sebelum ini, kita ada beberapa cenderahati yang mungkin kita biasa gunakan tapi untuk tahun ini, mungkin saya minta pasukan di kementerian pertimbang mengapa kita tidak cari seniman tempatan untuk hasilkan beberapa cenderahati khas untuk acara yang istimewa.

“Saya akan bincang dengan MyCreative yang banyak membantu seniman tempatan, bagaimana kita boleh usahakan cenderahati seperti ini. Ini antara lain sebagai tanda sokongan (kepada seniman tempatan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.