
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata Hassan yang juga ketua badan penasihat khas menteri kewangan akan berperanan meneliti tindakan yang perlu diambil setiap hari, selain mengumpulkan maklum balas berkaitan isu di rantau berkenaan.
“PPPK ini pula mempunyai sekretariat yang dipengerusikan oleh Penasihat Kanan bagi Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hassan.
“Dua struktur ini akan membantu Mten yang sekarang bersidang setiap minggu untuk menyelaraskan maklumat secara harian,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkaitan kerjasama mengekang aktiviti penipuan (scam), antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Fahmi turut menjelaskan, tugas pasukan dipimpin Hassan tidak bertindih dengan jawatankuasa khas dipengerusikan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan yang berperanan meneliti perkembangan ekonomi semasa susulan konflik tersebut.
“Apa yang penting usaha kita ialah pertama secara keseluruhannya mengenai bekalan, bukan sahaja bahan api, bahan bakar, tenaga bagi negara kita kekal terjamin untuk bulan-bulan yang akan datang, tapi juga bekalan makanan.
“Pada masa yang sama (juga) untuk memastikan harga barang terkawal dan aktiviti menyeludup atau menyeleweng bahan api, bahan makanan, dapat dikekang,” katanya.
Sejak 28 Feb lalu, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan operasi ketenteraan terhadap Iran yang mengakibatkan ribuan nyawa telah terkorban.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta pangkalan AS di beberapa negara Arab.