
Penganalisis Jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata ini kerana pengendalian sempadan negara ketika ini melibatkan banyak agensi seperti polis, kastam dan imigresen dengan bidang kuasa masing-masing yang mungkin boleh mengurangkan keberkesanan pengawalan keselamatan sempadan negara.
“Sebenarnya dulu, kita ada Unit Pencegah Penyeludupan dan beberapa badan lain, tetapi undang-undang masih berkuat kuasa di agensi masing-masing.
“Sebagai contoh, kes melibatkan polis akan diserahkan kepada polis, imigresen akan mengikut undang-undang imigresen, begitu juga kastam diserah kembali kepada jabatan itu untuk dikendalikan,” katanya kepada Bernama.
Dengan wujudnya SBA sebagai sebuah jabatan berserta kuasanya tersendiri, katanya, semua urusan termasuk berkaitan tangkapan boleh dikendalikan pegawai SBA sendiri berdasarkan bidang kuasa diberikan kepada mereka.
Shahul yakin dengan adanya SBA, urusan mengendalikan sempadan negara dapat dilaksanakan lebih berkesan dan mampu mengurangkan masalah serta jenayah di kawasan sempadan.
Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata SBA dapat mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus menjadikan tugasan kawalan sempadan lebih efisien.
“Kalau kita lihat kebanyakan negara lain, mereka sememangnya mempunyai agensi tunggal mengawal hal berkaitan sempadan dan ia penting kerana melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara, terutama dalam membuat sebarang keputusan sempadan.
“Contohnya yang boleh kita lihat adalah Amerika Syarikat ada penguat kuasa sempadan dan agensinya sendiri.
“Kita tahu negara itu sekarang menghadapi masalah kedatangan pendatang asing dari Mexico, jadi bayangkan kalau tiada agensi tunggal itu, maka akan lebih kucar-kacir pengurusan sempadan.”
Katanya, SBA juga perlu memfokuskan usaha membantu merangka dasar berkaitan keselamatan sempadan lebih baik.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, rang undang-undang (RUU) sedang dirangka bagi merealisasikan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara.
Katanya, Jemaah Menteri memberi persetujuan kepada cadangan merangka RUU itu bagi menubuhkan entiti baharu SBA yang akan mengguna pakai satu nama dan beroperasi sebagai agensi kawalan sempadan baharu.
Beliau berkata langkah mewujudkan SBA merupakan keputusan betul supaya sistem penyampaian lebih cekap dan pantas, selain dapat meningkatkan koordinasi antara agensi serta menambah baik amalan integriti.