Kecualikan kenaikan 2% cukai SST bil elektrik, air, gesa Wee

Kecualikan kenaikan 2% cukai SST bil elektrik, air, gesa Wee

Wee Ka Siong persoal keperluan menaikkan kadar ketika barangan keperluan lain seperti makanan dan telekomunikasi dikecualikan daripada kenaikan SST.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata telekomunikasi, elektrik, dan air adalah utiliti bulanan asas maka kerajaan perlu konsisten berhubung kadar cukai servis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA meminta kerajaan mempertimbangkan pengecualian kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi bil elektrik dan air, yang dijadualkan naik daripada 6% ke 8% bermula Mac ini.

Presiden Wee Ka Siong mempersoalkan keperluan menaikkan kadar itu ketika barangan keperluan lain seperti makanan dan telekomunikasi dikecualikan daripada kenaikan SST.

“Jangan dinaikkan ke 8% tetapi kekal pada 6% sebagaimana sektor F&B (makanan dan minuman), sektor parkir dan sektor telekomunikasi tidak dinaikkan ke 8%.

“Telekomunikasi adalah utilti bulanan asas. Begitu juga dengan elektrik dan air. Kenapa kadar cukai servis tidak dikekalkan juga bagi caj elektrik dan air?,” soalnya dalam satu kenyataan.

“Kerajaan perlu konsisten,” tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober lalu mengumumkan kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar SST kepada 8% berbanding 6%, tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Bulan lalu, kerajaan meluluskan permohonan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) antara 1 Jan dan 30 Jun tahun ini.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan menaikkan tarif elektrik sebanyak 30% bagi isi rumah dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj atau bil elektrik semasa melebihi RM708 sebulan.

Namun, pada masa sama syarikat utiliti itu memansuhkan rebat 2 sen kWj bagi penggunaan isi rumah antara 601kWh dan 1,500 kWh.

Wee berkata isi rumah dengan penggunaan elektrik antara 600kWh ke 1,500 kWj tidak lagi terkecuali daripada kenaikan akibat rebat ditarik balik bagi golongan itu mulai 1 Jan, mengikut pengumuman terbaru kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.