Ejen kapal mohon Loke anjur libat urus selesai isu Pelabuhan Selatan

Ejen kapal mohon Loke anjur libat urus selesai isu Pelabuhan Selatan

Antara isu berbangkit adalah operasi terhad akibat masalah pencahayaan dan kedalaman.

Ejen kapal mendakwa banyak isu berbangkit gagal diselesaikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) antaranya SOP saiz kapal dan kebenaran berlabuh. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Ejen perkapalan menggesa Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengadakan sesi libat urus dengan semua pemain industri untuk menyelesaikan masalah kemudahan di Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang.

Komuniti itu mendakwa banyak isu berbangkit gagal diselesaikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) antaranya SOP saiz kapal dan kebenaran berlabuh antara 8 pagi hingga 5 petang akibat masalah pencahayaan.

Susulan waktu berlabuh terhad untuk kapal, Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd R Jeyenderan mendakwa ejen di pelabuhan itu kerugian RM300,000 sebulan.

Menurutnya, mereka mula membangkitkan masalah terbabit kepada LPK pada Oktober namun tiada sebarang perkembangan dalam menyelesaikan permasalahan itu.

R Jeyenderan.

“Antara alasan diterima daripada LPK termasuk tiada lampu sorot di Pelabuhan Selatan untuk prosedur berlabuh pada waktu malam, sepatutnya dengan teknologi masa kini masalah terbabit tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada FMT.

Jeyenderan turut membangkitkan masalah kedalaman Labuhan Kurap di pelabuhan terbabit yang hanya 6.5m sejak setahun lalu susulan tiada kerja pendalaman dan pembersihan terusan.

“Had kedalaman sebenar adalah 7.5m namun sehingga kini akibat tiada kerja membersihkan terusan, kapal besar tidak dapat berlabuh untuk membawa muatan lebih besar,” katanya.

Jelasnya, sebuah kapal boleh membawa muatan sehingga 5,000 tan bagi setiap 1m namun dalam situasi dihadapi mereka jumlah itu terpaksa dikurangkan tapi kos pengangkutan kekal.

“Justeru kami mohon menteri pengangkutan anjur sesi libat urus untuk kita cari penyelesaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.