Potensi Malaysia dalam sektor logistik, pelabuhan sangat baik, kata PM

Potensi Malaysia dalam sektor logistik, pelabuhan sangat baik, kata PM

Anwar Ibrahim berkata sebagai contoh Pelabuhan Tanjung Pelepas menunjukkan prestasi sangat baik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kejayaan Pelabuhan Tanjung Pelepas adalah hasil perancangan yang baik, pengurusan yang mantap dan cekap. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan potensi negara dalam sektor logistik dan pelabuhan adalah sangat baik.

Mengambil contoh prestasi Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), beliau berkata PTP telah menunjukkan prestasi sangat baik dan merupakan antara 15 pelabuhan terbaik dunia.

“Sekarang ini memang PTP berada di 15 teratas (dunia), selain daripada (pelabuhan) di Klang yang berada di tangga ke 11, maknanya potensi Malaysia itu sangat baik,” kata beliau kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di PTP yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi PTP Che Khalib Mohamad Noh.

Sementara itu, dalam ucapannya perdana menteri bersyukur dan berbangga dengan kejayaan PTP mencapai kedudukan antara 15 pelabuhan teratas dunia.

“Kejayaan ini tentunya (hasil) perancangan yang baik, pengurusan yang mantap dan cekap, yang tidak mungkin dicapai tanpa komitmen, disiplin dan semangat seluruh warga PTP,” kata Anwar.

Sementara itu, Che Khalib dalam satu kenyataan berkata PTP bukan sahaja mempunyai kemudahan pelabuhan bertaraf dunia, namun turut menjadi titik rujukan bagi industri maritim serantau dalam pelbagai bidang lain.

“PTP merupakan hab pemindahan ke kapal, kontena paling sibuk di Malaysia, meliputi 1,900 ekar terminal dan 1,600 ekar kawasan zon bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat perkapalan utama dan pengendali kontena, menyediakan pengiriman di Malaysia dan luar negara yang luas ke pasaran global,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.