
Sumber berkata, Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan membenarkan dua lelaki itu termasuk seorang pensyarah universiti awam ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan pada jam 2.30 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Kelantan bagi dirakamkan keterangan.
“Kedua-dua suspek yang berjawatan pengarah dan pengurus di sebuah syarikat yang sama disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu kepada sebuah anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
“Dokumen mengandungi butiran matan palsu ini bertujuan untuk mendapatkan kemudahan kredit berjumlah kira-kira RM2 juta bagi pembelian lembu pedaging,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan kedua-dua suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.