Johari cadang penuai kelapa sawit dijadikan profesion

Johari cadang penuai kelapa sawit dijadikan profesion

Menteri perladangan dan komoditi itu berkata ia akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Kira-kira 50% pekerja di ladang kelapa sawit membabitkan pekerja penuaian.
KUALA LUMPUR:
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani mencadangkan pekerja di sektor ladang sawit khususnya kerja penuaian dijadikan satu profesion menerusi kursus kemahiran dan gaji yang lebih baik.

Katanya, sektor sawit yang bergantung kepada pekerja asing kini berdepan dengan masalah kekurangan pekerja dan 50% pekerja di ladang itu terdiri daripada pekerja penuaian.

Menurutnya, anak-anak muda mungkin boleh mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan bimbingan itu.

“Apabila tamat kursus ini ada banyak tempat mereka boleh kerja kerana kita ada 5.6 juta hektar ladang kelapa sawit,” katanya berucap pada Palm Oil Economic Review & AMP; OutLook Seminar 2024.

Katanya, terdapat keperluan untuk memastikan pekerjaan penuaian kelapa sawit sebagai satu profesion supaya sektor itu tidak terlalu bergantung dengan pekerja asing.

Johari dalam sidang media memberitahu industri minyak kelapa sawit sangat penting kepada ekonomi negara, apabila menjana RM130 bilion untuk eksport sahaja.

“Bagaimanapun, masalah yang kita hadapi adalah pekerja. Kalau kita berdepan dengan keadaan tidak cukup pekerja, kita tak boleh tuai hasil,” katanya yang menambah ketika pandemik berbilion-bilion nilai buah dibiarkan tidak dituai kerana tiada pekerja.

“Kalau ada pekerja tempatan, alangkah baiknya. Tetapi kita tak boleh bayar mereka seperti pekerja asing. Kerana ini adalah industri yang besar, anda perlu pastikan mereka (pekerja tempatan) dilihat sebagai satu profesion,” katanya.

Johari berkata beliau sudah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang juga menteri kemajuan luar bandar berhubung projek rintis rancangan itu.

“Kita boleh ambil 40 ke 50 orang dan dapatkan pakar dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengajar mereka.”

Katanya, beliau juga sudah bercakap dengan MPOB mengenai cadangan menanam pokok kelapa sawit yang lebih rendah supaya lebih mudah untuk buahnya dituai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.