Sebabkan kematian remaja, guru didenda RM5,800

Sebabkan kematian remaja, guru didenda RM5,800

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang remaja dalam kemalangan jalan raya enam tahun lalu.

Majistret menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Nor Fazli Rashid mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang guru didenda RM5,800 oleh Mahkamah Majistret Muar hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang remaja dalam kemalangan jalan raya enam tahun lalu.

Berita Harian melaporkan Mohd Nor Fazli Rashid, 43, membuat pengakuan terhadap pertuduhan pilihan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu kurang cermat sehingga menyebabkan kemalangan terhadap pengguna jalan raya lain pada 2.15 petang 18 Mei tahun lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 dan boleh dipenjara 12 bulan.

Sabitan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau penjara sehingga 23 bulan.

Mengikut fakta kes, kemalangan di Jalan Parit Limbong itu membabitkan tiga kenderaan, termasuk kereta dipandu tertuduh.

Kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu tertuduh dalam perjalanan dari Pontian ke bandar itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal dinaiki remaja 18 tahun ketika itu.

Siasatan polis mendapati tertuduh didakwa memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan kerana perlu menanggung anak masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM5,800 terhadap tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.