PRN Sabah: KDM mahu jadi ‘kingmaker’, belum putus kerjasama

PRN Sabah: KDM mahu jadi ‘kingmaker’, belum putus kerjasama

Sumber KDM berkata parti itu yakin menang sekurang-kurangnya tujuh kerusi dan berpotensi menguasai lebih banyak kawasan Kadazan Dusun Murut.

Sumber Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkata mereka yakin lebih banyak kerusi Kadazan Dusun Murut bakal dikuasainya pada PRN Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Di sebalik spekulasi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bakal bergabung dengan Barisan Nasional (BN) serta Warisan pada PRN Sabah, parti itu dilihat masih pendirian ‘tunggu dan lihat’.

Sumber parti itu memberitahu FMT ini kerana pihaknya masih membuat penilaian kerjasama strategik selain yakin mampu menjadi ‘kingmaker’ berdasarkan kekuatannya di pedalaman.

Menurutnya, KDM mempunyai sokongan kuat di DUN terletak di bawah Parlimen Kudat serta Tenom selain Kota Marudu yang diwakilinya menerusi Wetrom Bahanda. Pada PRU15, beliau menewaskan penyandang dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili.

“(Setakat ini) Sekurang-kurangnya boleh menang tujuh kerusi, jadi ‘kingmaker’ semasa pembentukan kerajaan negeri nanti,” kata pemimpin KDM yang percaya lebih banyak kerusi Kadazan Dusun Murut bakal dikuasai mereka berdasarkan sentimen semasa.

KDM dipimpin Peter Anthony yang juga Adun Melalap.

Tempoh DUN Sabah yang mempunyai 73 kerusi akan tamat pada Oktober 2025, namun PRN17 dijangka diadakan lebih awal, selepas Ketua Menteri Hajiji Noor membayangkan ia mungkin diawalkan pada tahun ini.

Sebelum ini, sumber Umno Sabah memaklumkan kerjasama Umno dan Warisan pada PRN hampir pasti, berikutan hanya parti pimpinan Shafie Apdal bersetuju dengan permintaan Umno berkait kerjasama menjelang pilihan raya.

Malah Shafie pada bulan lalu turut mengesahkan kerjasama itu bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Hajiji. Bagaimanapun, Pengerusi BN Zahid Hamidi kelmarin berkata rakan kerjasama komponen itu pada PRN Sabah akan ditentukan selepas pembubaran DUN.

Umno dan Warisan Sabah sebelum ini dikatakan bekerjasama dalam Episod ‘Langkah Kinabalu’, awal tahun lalu dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Hajiji.

Bukan sahaja usaha itu gagal, Bung pula dipecat sebagai timbalan ketua menteri dan menyebabkan Umno Sabah berpecah apabila ada wakil rakyatnya menyokong Hajiji.

Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya dilantik menggantikan Bung. Mac lalu, beliau digantung sebagai ahli Umno selama enam tahun.

Selain beberapa Adun Umno dan semua wakil rakyat GRS, Hajiji turut disokong Pakatan Harapan (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.