Pertimbang semula program 6P urus pelarian Rohingya, kata NGO

Pertimbang semula program 6P urus pelarian Rohingya, kata NGO

Mapim berkata inisiatif sedemikian akan memudahkan penempatan komuniti itu dalam tenaga kerja dan mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia berkata Putrajaya mesti menjelaskan ia tidak boleh menerima lebih ramai pelarian ke negara ini dan menguruskan mereka untuk menjadi aset. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO Islam menggesa agar satu inisiatif sama dengan Program 6P pada 2011, dilaksanakan untuk komuniti Rohingya berikutan desakan supaya pelarian itu dihantar pulang.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata inisiatif seumpama itu akan memudahkan pengurusan komuniti terbabit secara amnya.

Program 6P yang terdiri daripada pendaftaran, pengesahan, pengampunan, penyeliaan, penguatkuasaan dan pengusiran akan menjadi “cara praktikal untuk melakukannya”, kata Presiden Mapim Azmi Abdul Hamid.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita melihat semula program ini. Sebaik sahaja kita dapat mendokumenkan 80% daripada mereka (Rohingya), lebih mudah untuk menyenaraikan mereka dalam tenaga kerja kita dan mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat kita.

“Kita perlu menguruskan mereka dalam cara yang boleh menjadikan komuniti Rohingya ini sebagai aset kepada kita.”

Beliau berkata, bagaimanapun, Putrajaya mesti menjelaskan ia tidak boleh menerima lebih ramai pelarian ke negara ini.

Azmi juga berkata gesaan untuk menghantar pulang Rohingya tidak masuk akal kerana negara asal mereka, Myanmar, akan menolak mereka.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia Halim Ishak yang berkata Putrajaya harus menghantar pulang pelarian Rohingya susulan laporan kartel pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia dan beberapa Rohingya.

Halim turut mencadangkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia ditutup, dengan dakwaan ia tidak memainkan sebarang peranan dalam penempatan semula pelarian.

Tetapi Azmi berkata walaupun Halim merasakan UNHCR tidak berkesan, gesaan supaya ia ditutup adalah “penyelesaian yang terlalu mudah” kerana Malaysia tidak mempunyai kapasiti untuk menangani pelarian dan pendatang tanpa izin.

“Apa yang kita tahu ialah mengumpulkan mereka dan menempatkan mereka di pusat tahanan. Dan tindakan sedemikian hanya memburukkan keadaan,” katanya.

Selain itu, Azmi juga berkata kanak-kanak Rohingya di negara ini mesti diberi akses kepada pendidikan, sama ada di sekolah awam atau yang ditubuhkan oleh komuniti itu dengan bantuan NGO.

“Lagipun, sebahagian daripada mereka dilahirkan di sini dan kita perlu membantu mereka bersosial dengan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata jika kanak-kanak ini tidak diberikan akses kepada pendidikan, terdapat risiko mereka menjadi “ancaman”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.