Jakim sedia bawa isu wanita lahir tanpa rahim ke MKI

Jakim sedia bawa isu wanita lahir tanpa rahim ke MKI

Jurucakap Jakim berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan MRKH Malaysia sekiranya mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pakar pemindahan rahim Dr Mats Brannstrom (dua dari kanan) bersedia membantu doktor tempatan melakukan prosedur pemindahan organ untuk wanita tanpa rahim bagi membantu mereka mengandung. (Gambar MRKH)
PETALING JAYA:
Selepas menanti hampir setahun, rayuan wanita lahir tanpa rahim atau sindrom Mayer-Rokinstansky-Kauser-Hauser (MRKH) berhubung hukum prosedur mengandung menerusi pemindahan organ mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Susulan laporan FMT berhubung harapan kumpulan terbabit memiliki zuriat sendiri, Jakim bersedia mengemukakan permohonan kepada Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bagi mengkaji semula keputusan dibuat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, kira-kira 10 tahun lalu.

Untuk rekod, jawatankuasa itu pada Oktober 2014 memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap darurat.

“Jakim bersedia membawa isu ini ke peringkat muzakarah MKI bagi kajian lanjut dan pertimbangan semula hukum, tertakluk permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata jurucakap agensi itu kepada FMT.

Awal bulan ini, portal ini melaporkan wanita dilahirkan tanpa rahim masih menanti jawapan daripada Jakim berhubung cadangan mereka supaya teknik pemindahan rahim dibenarkan untuk kumpulan terbabit.

Difahamkan, teknik pemindahan rahim dicadangkan tahun lalu oleh MRKH yang bekerjasama dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Semalam, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai berkata ada kewajaran fatwa hukum pemindahan rahim yang diputuskan 10 tahun lalu itu dikaji semula.

Pengasas MRKH Malaysia, Nur Syazwani Abdul Rahim memberitahu pihaknya dengan kerjasama doktor pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) HCTM Universiti UKM memperjuangkan isu ini sejak 2017 dan pada awal 2023, mereka mula menghubungi Jakim untuk meminta semakan semula fatwa dibuat.

Tambahnya, mereka telah mendapat persetujuan pakar pemindahan rahim Dr Mats Brannstrom dari Sweden untuk melatih doktor tempatan untuk tujuan itu, namun berdepan kekangan susulan fatwa diputuskan pada 2014.

Syazwani turut menegaskan tidak semua boleh melakukan pemindahan organ itu dan yakin kerajaan tidak akan memberi ruang kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.