Bekas pengarah syarikat dituduh terima hasil wang haram lebih RM116 juta

Bekas pengarah syarikat dituduh terima hasil wang haram lebih RM116 juta

Ang Jen Chuen, 33, mengaku tidak bersalah atas lapan tuduhan yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Sesyen KL Azrul Darus membenarkan jaminan RM8.01 juta terhadap tertuduh secara bercagar dengan dua penjamin. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan tuduhan menerima wang hasil daripada kegiatan haram berjumlah lebih RM116 juta.

Bagi empat tuduhan, Ang Jen Chuen, 33, didakwa sebagai pengarah Syarikat Pixelvest Sdn Bhd (semasa kejadian), menerima wang hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM116,430,812.43 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank milik syarikat tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Berhad Kota Damansara, Affin Hwang Investment Bank Berhad Cawangan Taman Midah, Cheras, dan AmInvestment Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, antara 1 Dis 2020 hingga 7 Julai 2022.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla), dan boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada kegiatan haram atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, boleh dikenakan.

Bagi empat tuduhan lagi, dia didakwa menerima wang hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM553,749.18 dalam dua akaun bank miliknya, iaitu di HSBC dan Hong Leong, antara 30 Dis 2020 hingga 9 Jan 2023, mengikut akta sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Low Wen Zhen menawarkan jaminan RM11 juta dengan dua penjamin bagi kesemua tuduhan, berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri di pejabat SC berdekatan sebulan sekali.

Peguam Farhan Read yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta isterinya tidak bekerja. Selain itu, tertuduh mempunyai sebuah rumah di Kuala Lumpur yang kini dalam proses lelongan.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM8,010,000 secara bercagar dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan 26 Feb ini untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pelaburan Syaiful Riezal Ahmad, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menerima wang hasil daripada kegiatan haram membabitkan lebih RM2 juta.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Syaiful Riezal, 51, didakwa sebagai pengawal kepada Infinity Trustee Berhad (ketika kejadian), telah menerima wang berjumlah RM2,184,956.86 yang merupakan hasil kegiatan haram dalam akaun semasa Public Bank dan akaun perdagangan milik syarikat itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank cawangan Bukit Damansara dan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Petaling Jaya antara 22 Feb 2021 dan 24 Jun 2022, mengikut akta sama.

Hakim Azrul yang menetapkan sebutan kes pada 26 Feb ini, membenarkan Syaiful Riezal diikat jamin RM100,000 secara bercagar dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC berhampiran sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SC Eunice Ong Jo Xing, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisyam Hilmi Abd Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.