
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata ini kerana dibimbangi tindakan berkenaan bakal mendedahkan situasi sebenar bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai cukup angka, walaupun Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mendakwa gabungan itu memperoleh cukup akuan bersumpah (SD) untuk menumbangkan kerajaan.

“Matlamat mereka hanya persepsi, gembar-gembur dan provokasi untuk lemahkan kerajaan,” katanya di Facebook, mengulas kenyataan peguam Bastian Pius Vendargon bahawa cara terbaik menguji kepercayaan Ahli Parlimen adalah di Dewan Rakyat.
Bercakap kepada FMT, Vendargon berkata ia cara terbaik sekiranya negara sudah mempunyai perdana menteri.
Beliau mengulas dakwaan Hadi Awang bahawa partinya sedia menunggu perubahan kerajaan menerusi “proses demokrasi dan raja berperlembagaan”.
Mengulas “Langkah Dubai” dalam kolum Harakah Daily, presiden PAS itu berkata, semua parti politik mahu menjadi kerajaan, bukannya pembangkang sepanjang masa.
Katanya, dalam sistem demokrasi, perubahan dapat dilakukan melalui pilihan raya, atau wakil rakyat yang dipilih mengadakan undi tidak percaya di Parlimen atau melalui SD.
Pada Ahad, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mendakwa PN yang mana PAS menjadi komponennya, telah memperoleh SD mencukupi untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Bagaimanapun, Puad berkata hakikat sebenar adalah sokongan PN semakin merosot apabila dikhabarkan tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen Bersatu akan mengumumkan sokongan kepada perdana menteri.
“Sebab itu PN tidak berani minta undi belah bagi apabila Belanjawan 2024 diluluskan,” katanya.