
Beliau berkata, syarat ketat dikenakan Lembaga Penapis Filem (LPF) menyebabkan pembuat filem “menapis” sendiri karya mereka bagi mengelakkan dipotong sebelum disiarkan di panggung wayang.
“Membuat ‘penapisan’ sendiri sebagai pembuat filem dan artis bukanlah sesuatu yang baik. Ini menyebabkan kami fikir idea kami tidak cukup baik untuk penonton. Apabila berbuat demikian, kami sekadar menghasilkan filem yang membuatkan penonton ketawa atau menangis, namun tidak lebih daripada itu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, banyak filem tempatan yang menyentuh isu tidak konvensional disambut baik di luar negara, malah memenangi anugerah, termasuk di Festival Filem Cannes dan Anugerah Golden Horse, tetapi sebaliknya pula di negara sendiri.
Khairi mengkritik tindakan menolak filem dilihat “kurang selesa” atas dasar generasi muda tidak bersedia menonton kandungan sedemikian.
“Saya tidak bersetuju untuk kakitangan awam berusia menentukan apa yang boleh ditonton atau sebaliknya. Kita tidak akan maju sebagai sebuah negara kerana (tindakan mereka itu) mengehadkan penerokaan idea baharu.”
“Mentega Terbang” diharamkan Kementerian Dalam Negeri pada 1 Sept lalu susulan kritikan umum terhadap babak didakwa bertentangan ajaran Islam.
Ini bukan perkara asing kerana filem Malaysia baru-baru ini banyak menarik perhatian umum berkait isu penapisan dan pengharaman.
Mei lalu, filem tempatan “Tiger Stripes” memenangi hadiah utama di Critics’ Week Festival Filem Cannes.
Bagaimanapun, ia melalui banyak penapisan apabila disiarkan di Malaysia Oktober lalu menyebabkan pengarahnya, Amanda Nell Eu menyelar versi disunting itu bukan miliknya kerana intipati filem berkenaan sudah tiada.

Pengasas bersama Freedom Film Network, Brenda Danker turut percaya penapisan ketat kerajaan mengakibatkan sekatan kebebasan ekspresi dalam filem.
Beliau mempersoalkan sebab LPF diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan awam.
“Filem satu-satunya medium yang memerlukan penapisan (sebelum ditayangkan). Ini pasti menyekat pembuat filem dalam mencipta karya mereka.”
Katanya, Malaysia perlu mencontohi negara yang tidak lagi mengamalkan penapisan filem oleh kerajaan.
“Kementerian Kebudayaan Thailand baru mendraf rang undang-undang filem dan permainan untuk mewujudkan majlis khas bagi filem.
“Saya fikir ini bagus kerana memastikan pembikin filem bertanggungjawab, namun masih mampu menyampaikan cerita mengikut sempadan ditetapkan mereka sendiri.”
Rang undang-undang itu yang dimuktamadkan November lalu bertujuan memperkasakan penerbit filem dengan mengalihkan kuasa penapisan daripada kerajaan sambil melindungi penonton muda.
Di bawah undang-undang itu, kerajaan melepaskan kuasa untuk mengarahkan sebarang suntingan, potongan atau pengharaman terhadap filem dan permainan, dalam pada mewujudkan dana khas bagi menyokong bakat dalam industri.