‘Langkah Dubai’ hanya cerita politik, kata Shahril

‘Langkah Dubai’ hanya cerita politik, kata Shahril

Bekas ketua penerangan Umno berkata kerajaan dan pembangkang memerlukan cerita seperti itu untuk kekal relevan.

Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin berkata cerita untuk gulingkan kerajaan perlu dihentikan kerana tahun ini penting untuk melihat dasar kerajaan dilaksanakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berpandangan isu “Langkah Dubai” bagi menumbangkan kerajaan hanya cerita politik untuk kerajaan dan pembangkang kekal relevan.

Beliau berkata, realitinya “Langkah Dubai” disifatkan sebagai tidak masuk akal berdasarkan sokongan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

“Ditambah dengan sokongan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Anwar menjadikan lebih 150 sokongan Ahli Parlimen (kepada Anwar).

“Untuk jatuhkan, (menjadi) kurang daripada 112 majoriti, perlukan satu gelombang,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin.

Atas faktor itu beliau berpandangan, kerajaan dan pembangkang sebenarnya perlukan cerita politik untuk kekal relevan.

“Itu sedang berlaku dan maksud saya ‘point’ (saya) nampak, kedua-dua pihak seronok apabila cerita ini wujud. Realitinya (Langkah Dubai) tidak ada,” katanya.

Cerita “Langkah Dubai” bermula selepas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, mendakwa wujud pertemuan antara pemimpin PN dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Terbaru, beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Khairy bersetuju dengan Shahril dan berkata cerita “Langkah Dubai” hanya memberi modal politik kepada kerajaan.

Katanya, ini kerana isu tersebut boleh dijadikan cara untuk kerajaan menyerang pembangkang.

“PN sudahlah tak cakap pasal isu nasional (dan) tak reti cakap pasal polisi. Jadi macam tunggul dekat situ.

“Kena serang ‘on something’. Saya rasa kalau PN teruskan usaha jatuhkan kerajaan dari semasa ke semasa, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan (ambil peluang) hentam mereka,” katanya.

Khairy dan Shahril juga berharap cerita untuk gulingkan kerajaan perlu dihentikan tahun ini.

“Sebab 2024, adalah tahun yang penting nak lihat pelaksanaan (dasar) kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.