Melaka tak bersedia zon bebas kenderaan, kata kumpulan perniagaan

Melaka tak bersedia zon bebas kenderaan, kata kumpulan perniagaan

Dewan Perniagaan dan Industri Cina Melaka berkata kesesakan berpunca pengalihan laluan dan sekatan jalan menghalang orang ramai memasuki bandar ketika cuti.

Pemimpin perniagaan berkata penutupan jalan tertentu di pusat bandar Melaka menimbulkan masalah kepada pengunjung. (Facebook pic)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan perniagaan di Melaka menyuarakan keluhan mengenai percubaan zon bebas kenderaan, dengan menyatakan ia membawa kepada kemerosotan dalam perniagaan semasa cuti akhir tahun.

Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana, serta sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob dan Jalan Merdeka, ditutup kepada kenderaan dari 6 petang Jumaat hingga 12 pagi Isnin sejak 22 Dis. Percubaan masih diteruskan.

Pada mulanya, zon bebas kenderaan diperkenalkan Ogos lalu dihadkan kepada tempoh enam jam sahaja bermula 6 petang pada Sabtu.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri Cina Melaka, Piong Yew Peng, memberitahu FMT pemilik perniagaan dan penduduk di kawasan itu mengadu mengenai kesesakan semasa sesi dialog baru-baru ini.

Katanya, kesesakan berpunca daripada pengalihan laluan dan sekatan jalan raya, menghalang orang ramai memasuki bandar semasa tempoh percubaan.

“Perniagaan menjangkakan peningkatan kerana ia adalah musim cuti (akhir tahun),” katanya. “Namun, itu tidak berlaku kerana kesesakan dan kekeliruan disebabkan oleh sekatan dan pengalihan laluan.”

Beliau berkata, seorang pemilik perniagaan yang menyertai dialog itu mendedahkan perniagaan syarikatnya merosot 50% dalam tempoh tersebut.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Melaka, Farosham Naizamohideen, berkata kejayaan inisiatif itu bergantung pada ketersediaan tempat letak kereta di luar zon bebas kenderaan, dengan perkhidmatan ulang-alik melalui bandar.

Katanya, selain menyediakan laluan alternatif lebih baik, pihak majlis perlu memastikan tempat letak kenderaan berhampiran yang mencukupi.

“Ini harus dilengkapkan dengan perkhidmatan ulang-alik atau tempat mengambil atau menghantar yang ditetapkan untuk mengurangkan kesulitan bagi pelancong dan usahawan apabila mereka melawat bandar,” katanya sambil menambah ia akan menyumbang kepada aliran trafik keluar dan masuk lebih sistematik di bandar itu.

Farosham berkata, majlis bandar raya harus meningkatkan komunikasi dengan agensi pelancongan, persatuan perniagaan, dan penduduk untuk penyelarasan inisiatif yang lebih baik.

“Ini akan membolehkan pelancong dan perniagaan merancang serta menyesuaikan perjalanan dan operasi perniagaan mereka dengan sewajarnya.”

Farosham dan Piong turut menggesa majlis bandar raya menilai kecekapan zon bebas kenderaan dari semasa ke semasa melalui dialog dengan pihak berkepentingan.

Pada 27 Dis lalu, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menggesa kerajaan Melaka menangguhkan pelaksanaan dan mengkaji semula selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.