Seleweng zakat RM9.62 juta, suami isteri direman 7 hari

Seleweng zakat RM9.62 juta, suami isteri direman 7 hari

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Pasangan suami isteri itu yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ditahan kerana disyaki menyeleweng kutipan zakat berjumlah RM9.62 juta. (Gambar Wikipedia)
IPOH:
Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki menyeleweng kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (kerana melakukan pecah amanah),” kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama.

Semalam Yusri mengesahkan suspek lelaki berusia 50 tahun, manakala isterinya berumur 53 tahun yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk, ditahan di Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.35 tengah hari.

Terdahulu pada Khamis Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh MAIPk, selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga Sept 2023, yang mana kes itu antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM9.71 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.