
Beliau berkata, sebarang keputusan menukar sokongan kepada perdana menteri perlu dibuat secara “en bloc”.
“Ia tidak akan berlaku kerana GPS yang diketuai Premier Sarawak (Abang Johari Openg) sudah memberi jaminan (akan terus menyokong kerajaan perpaduan),” katanya dalam sidang media di sini.
Zahid berkata, Gabungan Rakyat Sabah pula tidak memfokuskan politik negara ketika ini kerana sibuk bersiap sedia bagi PRN Sabah akan datang.
Justeru, beliau menggesa pembangkang berhenti merancang untuk menjatuhkan kerajaan dan membuang masa serta tumpuan rakyat.
“Kita ada masa empat tahun dari tahun ini untuk menghadapi PRU akan datang.
“Dalam tempoh empat tahun ini, mari kita bina semula negara kita bersama. Ia rosak hanya dalam satu penggal kerana tiga perdana menteri menerajui negara dalam tempoh itu, tetapi tidak membuahkan hasil baik untuk rakyat ketika itu.”
Minggu lalu, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Beliau mendakwa, pertemuan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim itu turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.
Sementara itu, Zahid juga mengumumkan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 akan diadakan pada Feb 29 hingga 2 Mac ini.
Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, kementeriannya akan menutup beberapa anak syarikat yang tidak menjana keuntungan.
Katanya, kementerian juga menawarkan ‘management buy out’ kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan dengan bayaran nominal.