
Beliau berkata, polis menyiasat empat kes pecah amanah berkait kutipan zakat masing-masing dua kes di Selangor, manakala masing-masing satu kes di Terengganu dan Perak.
Katanya, nilai kerugian keseluruhan bagi semua kes RM9,714,182.
“Kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9,629,682.
“Di dalam kes ini, syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) disyaki gagal mendepositkan wang kutipan zakat bermula Mac 2023 hingga September 2023,” katanya menurut Harian Metro.
Ramli berkata, siasatan sedang dijalankan dan polis akan merakam keterangan pihak syarikat terbabit bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Amat mendukacitakan apabila wang zakat juga turut diseleweng oleh individu-individu yang diamanahkan untuk mengutip wang terbabit,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana zakat adalah satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap Muslim.