
Bagaimanapun, dalam kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak mendedahkan identiti kedua-dua individu itu.
Menurut Shuhaily, kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes masih (pada) peringkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif, terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara.
Pada 28 Dis lepas, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan pakar perundangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Cadangan Ngeh, yang juga penasihat DAP Perak, itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk komponen pembangkang dan kerajaan.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memberikan respons dengan mengingatkan rakyat, khususnya mereka yang bukan beragama Islam, agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.
Ngeh kemudiannya memohon maaf dan menarik balik cadangannya, menjelaskan beliau tidak mempunyai niat untuk mencampuri hal ehwal Islam
Katanya, beliau hanya mencadangkan sedemikian supaya semua pandangan diambil kira sebelum sebarang perlembagaan dipinda.