Kenali beza data awam dengan data APDP dahulu, Rafizi bidas LFL

Kenali beza data awam dengan data APDP dahulu, Rafizi bidas LFL

Kumpulan peguam itu sebelum ini menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Padu sehingga APDP dipinda.

Rafizi Ramli menjelaskan, data awam dikawal selia oleh akta setiap agensi yang mengutip data tersebut.
PUTRAJAYA:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membidas gesaan kumpulan peguam agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sehingga Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 dipinda.

Beliau berkata, sebelum mengeluarkan kenyataan, Lawyers for Liberty (LFL) perlu mengetahui perbezaan antara data yang dilindungi oleh APDP dengan data awam.

Rafizi menjelaskan, data awam dikawal selia oleh akta setiap agensi yang mengutip data tersebut, dan tidak diliputi APDP.

“Kalau pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perkara kebertanggungjawaban, kerahsiaan data dan pengendalian data penjawat awam masuk bawah akta JPJ,” katanya pada sidang media mengenai hari kedua pelaksanaan Padu.

Tambahnya, data yang digunakan untuk Padu bukanlah baharu, sebaliknya data yang dikumpul.

“Kalau kita mengikut komen-komen, contoh daripada LFL, maksudnya kita kena tutup Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Terdahulu, Pengarah LFL Zaid Malek berkata, pelaksanaan Padu sebelum APDP dipinda akan mendedahkan orang awam kepada bahaya berlakunya pelanggaran data, kebocoran dan penipuan.

Rafizi hari ini berkata, pihaknya menyasarkan 500,000 pengguna mengakses Padu setiap hari, dengan 200,000 pengguna sehari lengkap mendaftar.

“Ketika ini, proses pendaftaran Padu berjalan lancar seperti dirancang. Kami jangka (pendaftaran) akan lebih mencabar pada minggu kedua namun, ia akan melonjak pada Mac,” katanya.

Setakat 4 petang tadi, seramai 516,168 telah mendaftar dalam Padu, dengan 261,158 pengguna telah melengkapkan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.