
Dr S Subramaniam berkata, undang-undang mengawal farmaseutikal di Malaysia kukuh, tetapi kurang penguatkuasaan akibat tenaga kerja tidak mencukupi untuk mengawasi operasi farmasi di seluruh negara secara berkesan.
“Saya tak fikir bahagian farmaseutikal ada tenaga kerja sebanyak itu, jadi kapasiti mereka untuk menguatkuasakan (undang-undang) terhad.
“Satu cara untuk meningkatkan penguatkuasaan mungkin ialah memperluaskan skop kuasa penguatkuasaan ini kepada (bahagian) lain dalam kementerian,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, warganet berang selepas seorang pengguna media sosial menemui sebuah kedai runcit di Forest City, Johor, menjual antibiotik dikenali azithromycin secara terbuka pada harga RM15 tanpa memerlukan preskripsi doktor.
Azithromycin adalah antibiotik merawat pelbagai jangkitan bakteria, termasuk yang menjangkiti sistem pernafasan, kulit, telinga dan mata dan penyakit berjangkit melalui aktiviti seks.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad kemudian menggesa bahagian farmasi KKM “segera mengambil tindakan lebih agresif”.
Subramaniam berkata, walaupun dengan peraturan sedia ada yang “jelas” untuk farmaseutikal, ketidakpatuhan terus menjadi kebimbangan, contohnya “parallel import”.
“(Parallel import ialah) kumpulan atau badan tertentu membawa masuk sejenis ubat dari negara lain yang tidak berdaftar dengan KKM dan menjualnya secara haram melalui ejen kepada pelbagai kumpulan di sini.
“Ini satu kesalahan dan KKM serta bahagian penguatkuasaannya boleh mengambil tindakan.”
Selain itu, katanya, amalan ahli farmasi tertentu memberikan ubat preskripsi, seperti ubat tahan sakit, kepada pesakit tanpa memerlukan preskripsi doktor.
Beliau berkata, orang ramai perlu dididik tentang keperluan mengelakkan membeli ubat sendiri di farmasi.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amhari Buang menggesa orang ramai melaporkan segera kepada bahagian penguatkuasaan farmasi KKM jika mendapati ubat preskripsi dijual secara terbuka.
“Jika lihat ubat ini (azithromycin), anda bahkan tidak boleh menjualnya dalam talian (kerana ia memerlukan preskripsi). Farmasi tidak dibenar mengeluarkan ubat ini tanpa preskripsi kerana ia boleh membawa risiko kepada individu mempunyai alahan tertentu.”
Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa antibiotik mesti digunakan secara bertanggungjawab dan berhati-hati kerana penyalahgunaan boleh menyebabkan rintangan antibiotik.